KEHILANGAN

Mariam binti Baharom atau gelaran Mariam Tahi Lalat telah kembali ke rahmatullah pada subuh tadi di Singapura. Mariam ialah pelakon filem melayu era 50 an seangkatan dengan P.Ramlee, Saadiah dan lain2 di jalan Ampas Studio, Singapura. Ikuti serba sedikit kesah alahyarhamah – dilahirkan di Singapura pada tahun 1935. Pada peringkat awal, Mariam bekerja di restoran sebagai seorang pelayan, Mariam dapat bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Antara pengunjung yang sering ke restoran tempat Mariam bekerja ialah beberapa orang pekerja Studio Malay Film Productions (MFP). Merekalah yang menyuruh Mariam ke Studio MFP, mencari peluang berlakon.

Lalu, Mariam ke Studio MFP di Jalan Ampas, itupun hanya untuk melihat penggambaran filem dijalankan. Mariam kemudiannya, menjadi pelakon tambahan dengan bayaran tiga ringgit sekali berlakon.

Pertama kali wajah Mariam dilihat di layar perak adalah melalui filem, Dewi Murni yang diarahkan oleh B. S. Rajhans pada tahun 1950. Mariam menjadi salah seorang kawan Kasma Booty yang berlakon sebagai heroin di samping Osman Gumanti sebagai hero.

Mariam terkejut besar apabila pengarah filem, S. Ramanathan memaklumkan bahawa Mariam akan berlakon dalam filem, Kembar yang akan diarahkan oleh beliau. Mariam seperti tidak percaya apabila S. Ramanathan berkata, I nak jadikan you heroin.

Mariam diberikan peranan penting bersama M. Amin dalam filem, Kembar pada tahun 1950. Mariam membawa watak gadis kembar yang mengelirukan seorang lelaki. Peranan gadis kembar filem tersebut menyebabkan peminat filem Melayu memanggilnya, Mariam Kembar. Populariti Mariam memuncak apabila berlakon di samping P. Ramlee dalam filem, Anjuran Nasib yang diarahkan oleh B. S. Rajhans pada tahun 1952. Selain mempamerkan lakonan yang beik, Mariam juga menunjukkan kebolehan beliau menari dalam filem yang banyak menghidangkan lagu dan tarian itu.

Mariam menghadapi masalah berat badan ketika kemashuran beliau melonjak. Hal tersebut menjadi sungutan peminat beliau yang mahukan heroin pujaan mereka sentiasa cantik dengan potongan badan yang menarik. Mariam merupakan seorang pelakon sejati, yang sentiasa mementingkan seni melebihi segala-galanya. Mariam dengan ikhlas menerima peranan yang tidak begitu penting dalam sebuah filem arahan P. Ramlee pada tahun 1960.

Dalam filem Antara Dua Darjat itu, Mariam memegang peranan sebagai seorang pembantu rumah. Peranan tersebut boleh dikatakan kecil dari segi kedudukan beliau sebagai pelakon ternama. Dalam hal tersebut, Mariam berkata, bukan peranan yang penting buat saya tetapi penghayatan lakonan itu.

Mariam merupakan kakak Saadiah. Beliaulah yang membukakan jalan kepada Saadiah menjejaki dunia filem hingga menjadi pelakon berwatak besar. Dalam filem tersebut, adik beliau, Saadiah menjadi heroin, sementara P. Ramlee menjadi hero. Filem tersebut turut dibintangi oleh S. Kadarisman, Yusof Latiff, S. Shamsudin, Rahimah Alias, Ahmad Nisfu, dan Mustarjo.

Selepas itu Mariam menjadi pelakon bebas yang tidak terikat dengan kontrak jangka panjang dengan mana-mana studio. Ketika itulah, Mariam berlakon dalam beberapa buah filem keluaran Cathay Keris.

Dua orang anak Mariam turut menjadi artis, iaitu Bat Latif dan Rahimah Rahim. Bat menjadi pelakon, dan telah memenangi anugerah di peringkat Asia Pasifik, manakala Rahimah Rahim mencipta nama dalam bidang nyanyian.

Setelah perkahwinan pertama beliau berakhir dengan penceraian, Mariam berkahwin pula dengan Rahim, seorang penyanyi kelab malam yang cenderung menyanyikan lagu-lagu berirama Latin. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, Mariam menghidap menyakit kencing manis. Beliau lebih banyak berehat di rumah sambil menerima rawatan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: